TAHUN baharu 2013 menjadi titik permulaan semula bagi kumpulan Hey Miss Chenta (HeyM.C) meneruskan usaha memperjuangkan bakat semula jadi dalam diri mereka.
Kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2009 ini dianggotai dua ahli asal iaitu Awan (vokalis) dan Zash (dram), manakala tiga lagi ahli baharu iaitu Awa (gitar), Ebett (bass) dan Abeng (gitar).
Mulai tahun ini, mereka mula membuat pembaharuan serta memperjuangkan lapan lagi lagu baharu dalam album kedua mereka yang secara keseluruhannya menggunakan genre pop rock dan ciptaan sendiri.
Sebelum ini, HeyM.C bereksperimentasi dengan genre pop tetapi mereka memberanikan diri dengan mengorak langkah membawa genre berlainan sesuai dengan jiwa sebahagian peminat muzik remaja zaman kini.
Tampak seperti kumpulan biasa tetapi mereka merupakan sebuah kumpulan yang low profile walaupun pernah menjuarai Digi Live Tour 2010.
Mereka mula dikenali ramai di laman sosial Youtube dengan lagu Good Bye Baby yang dibawa oleh Awan (sehingga mencecah lebih 50,000 kunjungan, selain dijual sebagai nada dering (ringtone).
Kumpulan ini masih bergiat aktif dengan membuat persembahan jemputan daripada banyak pihak termasuk institusi pengajian tinggi (IPT).
Sementara itu, dalam bulan ini, HeyM.C akan melancarkan single baharu mereka bertajuk Sang Pelangi yang akan dijadikan taruhan untuk memancing syarikat rakaman memandangkan mereka kini berdikari sepenuhnya.
Album baharu mereka pula akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini dan mengandungi lapan buah lagu.
Buat peminat yang ingin mengenali mereka dengan lebih dekat,
layari di laman:
Artikel Penuh: Utusan Malaysia 12 Jan 2013
Wartawan: AZRIN
© Utusan Melayu (M) Bhd